3.0 Faktor-faktor Lahirnya Penulis Novel Kelantan dan Sumatera Barat(1920 –
2000)
3.1.1 Faktor-faktor Lahirnya Penulis Novel Kelantan(1920 – 2000)
a) Pengaruh Pendidikan dari Timur Tengah
Cendikiawan agama di negara ini sudah mengenali hikayat-hikayat lama dari golongan atau naratif Islam. Waktu beliau berada di Mesir akhir abad ke-19 mereka sempat membaca karya-karya novel Barat melalui terjemahan yang pada waktu itu berlaku secara giat. Oleh sebab itu, apabila mereka pulang ke tanah air, maka bentuk novel yang ditulisnya adalah menyamai dengan apa yang pernah diwarisinya daripada hikayat-hikayat Melayu lama dan yang dikenalinya tatkala menuntut di Mesir dahulu, iaitu novel romantis yang lebih banyak memiliki ciri-ciri hikayat. Pengarang misalnya Syed Syeikh Al-Hadi dengan novelnya Hikayat Faridah Hanum banyak mengungkapkan unsur-unsur sedemikian rupa. Teknik yang terpakai dalam novelnya itu melahirkan kesan besar sehingga menjadi ikutan novel-novel lain, iaitu ciptaan penulis yang segolongan dengannya, seperti yang terilihat dalam novel-novel Ahmad Rashid Talu.[1]
Sewaktu pelajar ini belajar di Timur Tengah, mereka telah terpengaruh dengan Gerakan Pembaharuan Agama Islam. Pengaruh daripada gerakan yang muncul di Timur Tengah tertanam pada penggerak agama di Tanah Melayu yang seterusnya mencetuskan semangat nasionalisme. Semangat mereka ini tersebar luas melalui rencana di akhbr, majalah dan juga karya sastera seperti novel. Disamping itu para ulama yang kembali dari Timur Tengah khususnya dari Arab Saudi menyeru agar masyarakatnya mengikuti faham Pan-Islamik dan menyalakan semangat pembaharuan[2]. Pembaharuan ini disambut oleh penulis-penulis di Tanah Melayu dan idea ini dapat dilihat melalui novel-novel yang dihasilkan pada zaman itu. Idea pembaharuan ini dapat dilihat dalam novel Melati Kota Bahru, Acuman Mahkota dan dan Sebelas Rajab hasil karya Abdul Kadir Adabi.
b) Lahirnya Institusi Pendidikan yang Bersifat Formal
Maktab Perguruan Sultan Idris(MPSI) Tanjung Malim telah melahirkan
guru-guru Melayu dan mereka banyak menghasilkan novel-novel sebelum perang. Sewaktu mereka menuntut mereka mempelajari hikayat-hikayat lama dan matapelajaran Kesusasteraan Melayu. Apabila mereka diperkenalkan dengan novel-novel Inggeris melalui terjemahan yang dilakukan di Pejabat Karang Mengarang di MPSI, mereka mendapati karya itu terdiri daripada novel-novel yang bersifat romantis dan pengembaraan yang lebih menghampiri sifat hikayat atau “romance’. Karya-karya tersebut termasuklah ciptaan-ciptaan Jonathan Swist, R-L Stevenson, Daniel Defoe, Sir Arthur conan Doyle dan Jules Vernes iaitu novel Gullivers Travels, Tresure Island, Robinson Cruisoe, Adventures of Sherlock Holmes dan Round the World in 80 dayas. Terjemahan cerita-cerita dongeng Eropah juga mempunyai persamaan dengan cerita rakyat Melayu misalnya Robinhood, Cinderella dan Grimn Telles. Walau bagaimanapun, penulis pada waktu itu sama ada di Kelantan atau negeri-negeri lain lebih meminati bentuk-bentuk hikayat lama yang telah sehati dengan diri mereka dan hasilnya telah mempengaruhi novel-novel awal karya mereka[3]. Pengaruh karya klasik ini dapat dilihat dengan jelas terutamanya dari segi penman judul novel itu sendiri misalnya Hikayat Faridah Hanum(1926) oleh Syed Syeikh Al-Hadi, Hikayat Khalik dan Malik(1927) oleh Zulkarnain Yakub, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan(1927) oleh Ahmad Kotot.
Mulai tahun 1960an dan 1970an jumlah pembaca novel juga telah bertambah. Pembaca-pembaca tahun 1960an bukan lagi lulusan sekolah atau guru sekolah rendah atau wartawan dab angkatan tentera sahaja. Pembaca adalah orang-orang yang mendapat pendidikan menengah bahkan berpendidikan tinggi. Mereka memerlukan bahan bacaan yang sesuai dengan selera mereka. Pada tahun 1959, Universiti Malaya telah membuka Jabatan Pengajian Melayu. Mahasiswa-mahasiswa ini juga menjadi pembaca dan peminat kesusasteraan Melayu. Dengan ini dapatlah dianggap bahawa institusi pengajian tinggi telah memberi sumbangan poenting dalam menggalakan poertumbuhan kesusasteraan termasuk dalam bidang perkembangan novel. Pada dekad ini juga lulusan sekolah menengah dan universiti telah muncul sebagai penulis novel. Fenomena ini juga dapat di lihat di negeri Kelantan dengan munculnya S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan Norhisham Mstaffa[4].
c) Kegiatan Orang Inggeris dalam Kajian Sastera Melayu
d) Pergerakan yang Bersifat Politik di Kalangan Orang Melayu
Abdul Kadir merupakan seorang yang gemar menjelajah seluruh pelusuk
tanahair termasuk Singapura dan Selatan Thailand. Tujuannya ialah untuk meninjau suasana politik, ekonomi, dan sosial tempat-tempat yang disingahinya. Dalam lawatan itulah Abdul Kadir berkesempatan bersemuka dan berbincang dengan tokoh-tokoh pergerakan masyarakat tempatan. Kecintaan padunya kepada tanahair yang dikongsi bersama-sama tokoh bersama tokoh Kesatuan Melayu Muda(KMM). Beberapa idea KMM dapat dilihat dalam novel Melati Kota Bharu.
e) Pertubuhan Melayu yang bersifat Bahasa dan Persuratan
f) Pengaruh Akhbar dan Majalah Melayu dalam Persuratan Melayu
Setelah akhbar dan majalah telah menjadi sebahagian daripada alat menyebarkan
fikiran rakyat, maka genre novel mula mengambil tempat bersama-sama dengan perkembangan puisi dan cerpen. Perkembangan ini berterusan sehingga munculnya genre novel, sama ada dalam bentuk buku atau disiarkan secara bersiri dalam majalah-majalah sebelum perang dan selepas perang. Perkembangan ini menunjukkan betapa pesatnya penciptaan karya kratif yang merakamkan pelbagai ragam pemikian manusia Melayu sejak sebelum perang sehingga sekarang. Hal ini dapat dibuktikan dengan munclnya novel Acuman Mahkota, Sebelas Rajab dan Melati Kota Bharu oleh Abdul Kadir Adabi. Ketiga-tiga novel ini sebenarnya dimuatkan dalam majalah al-Hikmah(1937 – 39) yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan[5] Pada tahun 1960an penerbit-penerbit persendirian telah muncul. Penerbit itu telah menggalakan penulis-penulis dengan memberi wang pendahuluan kepada. Ini merupakan satu insentif yang baik kepada penulis tersebut.
g) Pengaruh Karya Sastera dan Majalah dari Indonesia
Pengarang-pengarang pada awal tahun 30an khususnya Abdul Kadir Adabi merupakan seorang yang rajin membaca. Hal ini termasuklah bahan-bahan bacaan dari Indonesia. Menurut Rosnah Baharudin novel Melati Kota Bharu mempunyai hubungan yang angat erat dengan novel yang ditulis oleh Swan Penn(nama samaran Prada Harahap, seorang tokoh wartawan Indonesia) iaitu Melati Van Agam. Pengaruh ini dapat dilihat berdasarkan novel Melati Kota Bharu yang memilih bunga sebagai tajuk yang dilambangkan pada wanita telah dimulakan oleh Swan Penn[6]. Sebelum itu pada tahun 1932, Ahmad Syarkawi juga mengunakan unsur bunga dalam pemilihan judul novelnya di Sarawak iaitu Melati Sarawak dan pengarang ini juga sebenarnya berasal dari Sumatera Barat.
Pengaruh kepada sastera dari Indonesia cukup tinggi bukan sahaja pada tahun-
tahun 20-an dan 30-an tetapi minat ini terus berkembang sehingga sekarang. Aliran masuk novel-novel dan bahan bacaan dari Indonesia pada akhir tahun 1940-an sehingga 60-an banyak membanjiri pasaran buku di Malaysia. Ini membuktikan bahawa pengarang Malaysia belajar dari pengarang Indonesia. Hal ini dapat dilihat dalam koleksi perpustakaan peribadi milik Norhisham Mustaffa yang mempuyai koleksi majalah sastera Horison disamping majalah-majalah serius dan bertemakan agama dari Indonesia seperti Basis, Islamik, dan Kalam[7].
h) Lanjutan Tradisi dalam Sastera Melayu
Penghayatan terhadap kesusasteraan, khususnya yang berbentuk kreatif, begitu ketara walaupun yang membawa tema agama. Penulisan kitab, misalnya walaupun yang dibincangkan itu mengenai soal-soal akhlak menurut kebenaran al-Quran da al-Hadis yang jelas bentuk dan maksudnya, tetapi ditulis dalm bentuk syair. Menurut S. Othman Kelantan, hal ini dapat dibuktikan apabila kajian dibuat ke atas syair-syair sebelum Perang Dunia II, akan ditemui banyak sekali karya-karya yang ditulis oleh ulama-ulama yang di seluruh Malaysia, terutama dari Pantai Timur. Walaupun karya syair itu boleh dimasukkan ke dalam penulisan sastera kitab, tetapi kerana masih bersifat kreatif dengan seni kesusasteraan, bukan lagi hanya peneranga agama semata-mata[8].
Masyarakat Melayu Kelantan sebagaimana juga dengan masyarakat Melayu yang lain sudah terdedah dengan sastera Melayu tradisional sama ada daripada tradisi lisan atau tradisi bertulis yang saling pengaruh mempengaruhi yang telah lama wujud dan kekal dalam dalam masyarakat Melayu. Penceritaan sastera hikayat lebih dikenali dengan kata bari dalam dailek bahasa Melayu Kelantan. Antara hikayat-hikayat tersebut ialah hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa, hikayat Sulung Merah Muda, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Terung Pipit, hikayat Raja Muda, Hikayat Parang Putting, Hikayat Sang Kancil, Hikayat Pelanduk Jenaka dan Cerita Jenaka. Cerita-cerita hikayat ini telah menjadi sehati dengan kehidupan masyarakat Melayu yang kemudiannya telah menerima pengaruh Hindu dan Islam, termasuk kesusasteraan. Penerimaan agama Islam juga menyebabkan pengaruh hikayat tentang nabi-nabi dan tokoh sejarah Islam[9].
h) Peraduan dan Penganugerahan Penulisan Karya Sastera
Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan peraduan yang diadakan pada tahun 1958, Hassan Mohd Ali muncul sebagai pemenang kedua dengan novelnya Musafir. Dalam peraduan pada tahun 1962 Ibrahim Omar dengan novelnya Desa Pingitan mendapat hadiah kedua manakala Lingkaran oleh Arena Wati dan Layang-layang Putus Tali oleh Yahya Samah mendapat hadiah penghargaan. Pada tahun 1967, sempena 10 tahun meredeka, Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan peraduan mengarang novel Malaysia. Hasilnya novel Sandera oleh Arena Wati mendapat hadiah ketiga[10]. Novel-noel lain misalnya Pulanglah Perantau, Merpati Putih Terbang Lagi, Intelek dan badan Bertuah hasil karya aziz Jahpin, Khadijah hashim, Abdullah Hussein dan Ismail Salleh mendapat hadiah penghargaan.
Mulai tahun 1971 kerajaan Malaysia telah mengadakan Hadiah Sastera; karya-karya cerpen, novel, puisi dan drama dihakimkan oleh satu panel hakim Hadiah Sastera. Pada tahun 1971 novel yang memenangi dalam peraduan ini ialah Senja Belum Berakhir dan pengarangnya ialah Azizi Haji Abdullah. Shahnon Ahmad dengan novel Srengenge pada tahun 1973. Hadiah sastera ini diberhentikan pada tahun 1976, tetapi ditingkatkan kepada Anugerah Sastera. Serentak dengan pemberhentian Hadiah Sastera itu, gabungan Penulis Nasional Malaysia(Gapena) telah mengadakan Peraduan Mengarang Novel; kali pertama tahun 1976 dan kali kedua 1979. Kemunculan persatuan-persatuan penulis terutama GAPENA memainkan peranan penting dalam pertumbuhan novel-novel Melayu dengan mengadakan beberapa sayembara.
Walaupun novel-novel yang menang dalam peraduan ini, penulisnya bukan orang Kelantan tetapi galakan ini iaitu, hadiah sastera dan Peraduan Mengarang Novel, telah menimbulkan minat di kalangan penulis-penulis Malaysia termasuk dari Kelantan untuk mencipta novel-novel yang serius dan bermutu[11]. Buktinya pada tahun 1962, novel Pelangi hasil karya yang pertama dari S. Othman Kelantan telah mendapat hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel.
Menyedari akan peranan yang penting, para penulis pada zaman pascamerdeka dan zaman pengisian pembangunan pascamerdeka, Keris Mas, Usman Awang bersama-sama Baha Zain telah menyediakan gagasan awal untuk mewujudkan Anugerah Sastera Negara(ASN) dan telah menyuaraka hasrat itu kepada YAB Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketika itu dalam majlis penyampaian Hadiah Karya Sastera 1976 yang berlangsung pada 11 November 1977. Usaha ini adalah untuk meningkatkan taraf sasterawan tanah air melalui pengiktirafan yang berprestij. Akhirnya pada tahun 1979, panel Anugerah Sastera Negara telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Datuk Musa Hitam, Menteri Pelajaran pada masa itu dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai urus setianya. Pengurniaan anugerah ini disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam majlis yang gilang-gemilang[12]. Pada 12 Januari 2004 dianggap tahun yang penting kepada penulis Kelantan, kerana pada tahun inilah seorang anak Kelantan telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-9, tahun 2003 iaitu S. Othaman Kelantan. Penerimaan anugerah ini tentunya akan memotivasikan lagi pengarang-pengarang dari Kelantan untuk menghasilkan karya mereka termasuk dalam genre novel.
3.2 Faktor-faktor Lahirnya Penulis Novel Sumatera Barat(1920 – 2000)
a) Lanjutan Tradisi dalam Sastera Minangkabau
Masyarakat Minangkabau semenjak dahulu lagi sudah mempunyai pelbagai seni misalnya seni sastera, seni bangunan, seni ukir, seni silat, seni drama dan lain-lain. Walaubagaimanapun, seni sastera merupakan seni yang sangat menonjol dalam masyarakat Melayu Minangkabau. Pembuktian tentang hal ini dapat dilihat dalam kehidupan sehari-hari bahawa mereka menyenangi hasil-hasil kesusasteraan mereka yang diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain. Hampir dalam semua aspek kegiatan hidup orang Melayu Minangkabau menggunakan pidato adat pasambahan dalam setiap upacara misalnya pengangkatan penghulu, majlis kenduri, majlis meraikan kelahiran dan kematian. Ini bermakna seni pidato menduduki tempat tertinggi dalam kehidupan mereka.
Hasil seni sastera yang lain termasuklah pantun, pepatah-petitih, peribahasa, gurindam, dan syair. Berdasarkan kajian sebelum ini, sebelum kedatangan Islam pada abad ke-15 dan 16 ke Minangkabau belum dijumpai pembuktian bahawa orang Melayu Minangkabau mempunyai huruf(tulisan) mereka sendiri. Ini bermakna, Kesusasteraan Minangkabau berkembang secara lisan dan tradisi menulis tidak ada pada zaman ini.
Kedatangan Islam ke Minangkabau telah memberi satu kesan yang sangat besar kepada sastera Minangkabau kerana Islam telah datang membawa huruf Arab. Dengan adanya sedikit perubahan, maka tulisan ini lebih dikenali dengan tulisan Jawi atau huruf Melayu. Ini bermakna segala hasil sastera Minangkabau yang selama ini berkembang secara lisan telah dapat dituliskan. Hasil-hasil sastera ini termasuklah Kaba Cinduo Mato, Malim Deman, Rancak di Labuah, Kaba Anggun Tonga Magek Jabang, Kaba Si Umbuik Mudo,Kaba Puti Nilam Cayo, Kaba Siti Kalasun, Kaba Si Umbuik Mudo, Kaba Puti Gando Nilai, Kaba Anggun nan Tungga, Kaba Sutan Lembak Tuah, kaba Bujang Paman, Puti Gondariah, kaba Sutan Lembak Tuah dengan Siti Rabiatun dan lain-lain. Di Sumatera Barat penerbit yang mencetak kaba ialah Pustaka Indonesia, Indah, Arga, Bayunus dan Tsamaratulichwan. Penulis-penulis novel pada tahun 20an juga menterjemahkan kaba Sabai Nan Aluih(1929) yang ditulis oleh M. Thaib Gelar St. Pamuntjak dalam bahasa Melayu Minangkabau ke dalam bahasa Indonesia.Sabai nan Aluih(1931) yang disusun oleh Tulis St. Sati, Tjerita Malim Deman(1932) oleh Aman dt. Madjoindo dan Tjerita si Umbut Muda yang ditulis oleh Tulis St. Sati(1930) dan Tjindur Matro(1951) karya Madjoindo[13]. Pengarang ini juga sudah terbiasa dengan syair misalnya Syair Siti Marhumah yang Saleh(1930) dan Syair Rosina(1933)[14]. Hal ini merupakan suatu bukti yang kuat menunjukkan hubungan dan pertalian bahasa dan masyarakat Minangkabau dengan karya berbentuk prosa. Karya-karya ini lebih dikenali dengan kaba dan karya ini digolongkan ke dalam seni drama, kerana telah dipertunjukkan oleh pelakunya di depan khalayak[15]. Sesuai dengan perkembangan mesin cetak, hasil-hasil kesusasteraan ini dicetak dan dapat dibaca oleh seluruh masyarakat sehingga ke hari ini. Berdasarkan kenyataan ini, dapatlah dirumuskan bahawa bahawa masyarakat Minangkabau semenjak dahulu lagi sudahpun mempunyai seni sastera yang tersendiri. Ini bermakna, lahirnya novel yang ditulis oleh orang Minangkabau adalah sebahagian dari lanjutan tradisi tersebut yang sudah lama wujud dalam masyarakat mereka. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana novel-novel yang dihasilkan pada tahun 1920-an dan 1930-an masih lagi terikat dengan konvensi yang ada dalam hasil kesusasteraan mereka terutama dari kaba Minangkabau. Unsur-unsur sastera yang lain terutama pantun, pepatah-petitih, syair dan simpulan bahasa masih lagi menebal sebagaimana yang terdapat di dalam novel.
b) Penubuhan Balai Pustaka
Sebelum tahun 1917, Balai Pustaka dikenali sebagai Biro Sastra Rakyat.
Penubuhan Balai Pustaka pada tahun 1917 berperanan untuk;
i) Memberi kesempatan kepada bangsa Indonesia untuk menulis dan disiarkan
sebagai bacaan masyarakat;
ii) Sebagai penghubung antara penulis dengan masyarakat;
iii) Menghidangkan kepada masyarakat bacaan yang baik dan murah;
iv) Menjamin kelangsungan kehidupan hasil-hasl kesusasteraan Indonesia sejak
ia diciptakan hingga ke zaman berikutnya;
v) Memperkenalkan hasil-hasil kesusasteraan dunia dengan menterjemahkan
hasil-hasil kesusasteraan bangsa asing yang bermutu ke dalam bahasa
Indonesia.
Peranan utama kegiatan balai Pustaka ialah sebagai pusat kesusasteraan. Pada tahun 1920-an, ia merupakan satu-satunya pusat kesusasteraan. Balai Pustaka
Bukan saja mendorong para pengarang Indonesia supaya menciptakan novel dengan memberikan kepada mereka kemudahan penerbitan. Ramainya pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat dapat dimungkinkan terutama dengan wujudnya Balai Pustaka. Kebanyakan para penulis Sumatera Barat pernah bekerja pada Balai Pustaka, baik dalam tempoh yang lama atau pun sebentar atau sekurang-kurangnya beberapa buah karya pernah diterbitkan oleh Balai Pustaka. Pengarang novel Sumatera Barat yang terkenal misalnya Nur Sutan Iskandar bekerja di pejabat ini mulai tahun 1919 dan terus-menerus bekerja di sana sehingga beliau bersara. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok, Sumatera Barat pada tahun 1896 juga pernah bekerja sebagai korektor pada tahun 1920, kemudian dinaikkan pangkat sebagai ketua redaktur di Balai Pustaka[16]. Bolehlah dikatakan novel-novel yang membicarakan tentang masalah orang Melayu Minangkabau diterbitkan oleh Balai Pustaka sehingga pengkaji Sastra Indonesia misalnya A. Teeuw, Ajib Rosidi dan Zubir Osman menggolongkan golongan ini sebagai Angkatan Balai Pustaka.
c) Peranan Sumpah Pemuda 1928
Sumpah Pemuda telah dilahirkan dan diikrarkan oleh seluruh pemuda Indonesia dengan penuh kesedaran semangat kebangsaan. Bangsa Indonesia memerlukan satu bahasa kebangsaan sebagai bahasa persatuan untuk menyatukan seluruh penduduk Indonesia yang berbagai bahasa, agama, dan kebudayaan. Sumpah Pemuda dianggap mempunyai peranan yang sangat besar kepada rakyat Indonesia kerana bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa persatuan bagi rakyat Indonesia dan bahasa Melayu digantikan dengan bahasa Indonesia. Gagasan mengenai bahasa persatuan itu lahir dari sebuah proses pemikiran yang matang. Dalam kongres Pemuda Indonesia I, pada tahun 1926 Muhamad Yamin salah seorang pemuda Minangkabau memperjuangkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa yang dapat difahami suku-suku bangsa di Indonesia[17]. Mohamad Yamin telah diberi penghormatan untuk membuat konsep-konsepnya dan salah satu konsep tersebut berisi rumusan tentang bahasa yang tertulis: ‘Kami putra dan putri Indonesia menjunjung tinggi bahasa persatuan bahasa Melayu’. Setelah melewati perdebatan dan berbagai pertimbangan, dalam Kongres Pemuda II, 28 Oktober 1928, disepakati rumusan mengenai bahasa persatuan, sebagai berikut: ‘kami putra dan putri Indonesia, menjunjung tinggi bahasa persatuan bahasa Indonesia’. Keputusan ini didukung oleh tokoh-tokoh berbagai suku bangsa seperti Ki Hadjar Dewantara, Purbatjaraka, Abu Hanifah, Husein Djajadiningrat, Sanusi Pane Semenjak itu para pemimpin Indonesia dan seniman menggunakan bahasa Melayu/Indonesia untuk meniupkan semangat kebangsaan sama ada dengan menggunakan dalam ucapan atau tulisan. Terbukti kemudian, bahasa Indonesia secara rasmi menjadi bahasa negara sebagaimana tercantum dalam Pasal 36, Undang-undang Dasar 1945[18].
d) Lahirnya Insititusi pendidikan di Sumatera Barat
Apabila Belanda menguasai seluruh daerah Minangkabau pada tahun 1840, pemerintaha Belanda mula mempersiapkan tenaga terdidik tingkat rendah dengan membuka sekolah dasar. Bahasa Melayu diajar dan digunakan sebagai bahasa pengantar. Pada tahun 1855 sekolah guru mula dibuka di Bukittinggi sebagai sekolah guru yang pertama di Sumatera. Sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Raja(Kweekschool). Tujuan utama sekolah ini untuk menghasilkan guru di peringkat sekolah menengah yang dapat membina dan mengembangkan sekolah. Selama 10 tahun perkembangan telah menghasilkan 49 tamatan, 37 orang di antaranya menjadi pegawai pemerintah(pakhuis) yang sebahagian besarnya ditempatkan di pos-pos pengumpulan kopi. Hanya 12 orang yang menjadi guru. Sekolah Raja mempunyai peranan yang sangat besar kepada penyebaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu kerana tamatan ini dapat mengembangkan bahasa Melayu di Minangkabau dan Nusantara secara lebih cekap. Tamatan yang memilih pekerjaan di bidang pemerintahan, telah membentuk kaum intelek baru bumiputera. Tamatan ini dapat mengembangkan penggunaan bahasa dalam lingkungan pekerjaan dan masyarakat. Tamatan ini ada juga melibatkan diri dalam bidang kewartawanan, editor penerbit dan meningkat menjadi sasterawan dan ada yang menjadi pemimpin lainnya. Pengarang-pengarang Minangkabau yang terkenal adalah tamatan dari sekolah ini misalnya Marah Rusli pada tahun 1904, Nur Sutan Iskandar(1910), sekolah ini misalnya Marah Rusli Mereka membentuk intelektual peribumi yang mengembangkan dan menuangkan fikiran melalui bahasa yang telah dikuasainya[19]. Institusi pendidikan lain terutamanya di Sumatera Barat yang telah menghasilkan sasterawan termasuklah Abdoel Moeis dari ELS(Europese Lagere SchooI) di Bukittinggi, Sariamin dari Sekolah Guru Putri di Padang Panjang, Ali Akhbar Navis dari Institut Nasional Syafei(INS), Dt. B. Nurdin Jacub dari AMS, Bukittinggi, Soerwardi Idris. Wildan Yatim bersekolah peringkat Sekolah Dasar dan Menengah di Tapanuli. Pengarang Chairul Harun dan Darma Moenir pernah mendapat pendidikan peringkat menengah di Sumatera Barat.
e) Lahirnya Gerakan Kaum Muda
Di Indonesia, gejala sosial ini bermula pada tahun 1903 di kalangan masyarakat Melayu Minangkabau. Syeikh Ahmad Khatib menyebarkan buah fikirannya dari Makkah melalui muridnya di daerah Minangkabau seperti Syekh Muhammad Djamil Djambak, Haji Abdul Karim Amrullah dan Haji Abdullah Ahmad[20]. Salah tujuan gerakan Kaum Muda ialah untuk memurnikan kembali agama Islam dan menentang adat yang tidak bersesuaian dengan Islam. Ulamak-ulamak ini mendirikan sekolah-sekolah agama misalnya sekolah-sekolah Thawalib. Sekolah-sekolah ini bukan sahaja memberikan ilmu pendidikan yang bercorak agama tetapi juga mata pelajaran yang lain misalnya Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan lain-lain. Sekolah-sekolah ini akhirnya melahirkan sasterawan yang berbakat besar misalnya Hamka dari Sumatera Thawalib, Parabek di Padangpanjang. Di dalam novel yang dikarang oleh Hamka terdapat idea-idea dari Kaum Muda yang ingin memperbaiki cara berfikir orang Islam terutama yang berkaitan dengan ajaran Islam yang sebenar.. Hamka sendiri pun mengeluarkan buku iaitu Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi yang didalamnya secara tegas dinyatakan bahawa adat itu harus dibuang dan ditukar dengan dengan yang baru digunakan di seluruh Indonesia[21]. Kaum Muda bukan sahaja dari golongan yang berpendidikan agama tetapi juga dari golongan yang yang mendapat pendidikan secara barat misalnya Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro, Abas Sutan Pamuntjak N.S, Aman Datuk Madjoindo dan M. Enri. Hampir kesemua pengarang-pengarang ini menokohkan kaum muda dari mereka yang mendapat pendidikan barat sebagai penentang adat. Ini bermakna golongan Kaum Muda yang diwakili oleh pengarang sama ada yang mendapat pendidikan agama atau barat menggunakan karya kretif khususnya dalam bidang novel sebagai salah satu cara untuk memajukan fikiran masyarakat Islam pada waktu itu terutama di Sumatera Barat
f) Peraduan Penulisan Karya Sastera
Selepas Indonesia merdeka, penglibatan pihak pemerintah dan swasta dalam usaha untuk mempertingkatkan lagi penglibatan rakyatnya dalam bidang penulisan semakin berkembang. Namun demikian, anugerah sastera lebih dipelopori oleh organisasi bukan kerajaan termasuk juga syarikat media serta yayasan budaya dan sosial[22]. Antaranya termasuklah akhbar Kompas dan majalah sastera Kisah yang memilih karya terbaik yang tersiar untuk diberi anugerah sastera pada jangka masa tertentu. A. A Navis sendiri mengakui semenjak cerpennya ‘Robohnya Surau Kami’ dipilih menjadi cerpen terbaik dan memperolehi Hadiah Sastra Majalah Kisah pada tahun 1955[23]. Anugerah sastera di Indonesia walaupun sebahagian besarnya tidak berdiri secara konsisten, namun telah menjadi pemangkin kepada corak perkembangan dunia kesusasteraan Indonesia. Anugeah-anugerah ini juga turut menyumbang kepada lahirnya bakat baharu dunia sastera. Hampir semua novel-novel yang diterbitkan sebelum ini telah memenangi peraduan yang tertentu. Hasilnya, banyak penerbit berusaha untuk menerbitkan novel-novel yang telah memenangi sayembara yang tertentu. Hal ini disebabkan penerbit merasa yakin bahawa karya yang akan diterbitkan akan diminati oleh masyarakat memandangkan novel-novel ini telah mendapat publisiti yang meluas dalam media massa. Novel-novel termasuklah Saraswati, Si Gadis dalam Sunyi(1970) oleh A. A. Navis. Novel ini sebenarnya adalah hasil sayembara mengarang UNESCO/IKAPI pada tahun 1968. Demikian juga dengan novel Panggilan Tanah Kelahiran oleh Dt. B. Jacub adalah hadiah kedua Bacaan Dewasa Sayembara Besar Mengarang yang diselenggarakan oleh Balai Pustaka pada tahun 1966. Novel Pergolakan oleh Wildan Yatim adalah pemenang hadiah ketiga sayembara Mengarang Roman dengan kerjasama Panitia Tahun Buku Internasional 1972, DKI Jakarta. Novel ini juga mendapat hadiah daripada Yayasan Buku Utama Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia. Novel Dan Perang pun Usai oleh Ismail Marahimin mendapat hadiah kedua sayembara mengarang roman yang diselenggarakan oleh Dewan Kesenian Jakarta pada tahun 1977.
i) Peranan Budaya dalam Masyarakat Melayu Minangkabau
Salah satu budaya tradisi yang dapat dianggap dapat memberikan satu eset yang paling baik sehingga melahirkan ramai sastrawan ialah budaya merantau. Orang Minangkabau juga mempunyai semangat belajar yang tinggi dan mereka berani mengeluarkan pendapat. Sikap budaya ini bersumber dari pandangan hidup mereka yang egaliter dan kosmopolitan[24]. Pola egaliter dengan segala implikasinya memberikan hak dan kesempatan bagi setiap orang mengembangkan potensi dirinya tanpa merendahkan orang lain. Hal ini tidak dinafikan kerana pengarang-pengarang pada zaman awal abad ke-20 sehingga akhir abad ke-20 misalnya Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Tulis Sutan Sati, Hamka, Adinegoro, Soewardi Idris, Idrus, dan Wildan Yatim menghasilkan karya mereka di perantauan terutama di Jakarta dan Medan. Orang Melayu Minangkabau mudah menyesuaikan bahasanya ke dalam bahasa Melayu tinggi yang sudah mendapat tempat sebagai lingua franca. Bahasa Melayu Minangkabau juga dipandang sebagai dialek dari bahasa Melayu dan bahasa Melayu ini sangat mudah dan orang Melayu Minangkabau mudah menyesuaikan bahasanya ke dalam bahasa Melayu tinggi.
Perkembangan ilmu pengetahuan sama ada Barat dan Islam membuatkan orang Melayu Minangkabau telah membuka diri tentang beberapa kelemahan yang ada dalam struktur kekeluargaan matrilineal. Hak wanita yang berlebihan di samping pembelengguan gerak-gerinya, pemuda Minangkabau yang tidak ada hak di rumah ibunya, suami yang jadi orang asing di rumah isterinya, keluarga isteri lebih berkuasa terhadap isteri dan anak-anak. Beberapa kelemahan inilah yang memungkinkan berkembangnya idea, fikiran, gagasan para penulis novel sehingga mereka menghasilkan karya mereka untuk diperdebatkan dalam kehidupan masyarakat Melayu Minangkabau seterusnya[25].
Masyarakat Melayu Minangkabau dan seluruh pelajar dari Sumatera yang tinggal diperantauan telah mengadakan organisasi. Mereka dapat berkumpul dengan lebih ramai pemuda asal Minang yang sedang menuntut di tanah Jawa. Pada tahun 1917 rasa kesatuan ini mendapat salurannya apabila sejumlah pemuda pelajar Sumatera membentuk wadah Jong Sumateranen Bond(Perkumpulan Pemuda Sumatera). Tujuan perkumpulan ini ialah untuk menumbuhkan rasa kesatuan dan setiakawan antara pemuda dari Sumatera, dan saling mendorong menuntut ilmu sehingga menjadi pemimpin, pendidik dan pengabdi masyarakat kampung dengan harapan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat. Pemuda-pemuda ini termasuklah Yamin, Djamaloeddin(Adinegoro) dan Amir[26].
Sikap berbahasa dan sifat perantau Minangkabau menjadi penunjang dalam perkembangan bahasa Melayu. Perantau yang memilih pekerjaan sebagai peniaga, guru, pegawai, selalu berada di tengah masyarakat. Mereka sangat mudah menyesuaikan diri, cepat bergaul dengan masyarakat sekitar dan mengembangkan komunikasi yang dapat difahami bersama dengan menggunakan bahasa Melayu.
c) Peranan Akhbar, Majalah dan Penerbit
Sekolah-sekolah Thawalib bukan sahaja melahirkan pelajar tetapi sekolah ini juga melahirkan akhbar Islam seperti ‘Al-Munir’ di Padang Panjang. ‘Al-Bayan’ di Parabek, Al-Basyr di Sungayang, ‘Al-Imam’ di Padang Japang dan lain-lain. Melalui akhbar ini golongan kaum muda dapat menyampaikan tentang reformasi dan nasionalisme di kalangan masyarakat Indonesia.[27] Berdasarkan pengalaman yang ada dalam masyarakat Minangkabau dan juga pengalaman di negara Arab, Hamka pergi ke Medan dan di sana beliau bertindak sebagai editor dalam majalah ‘Mingguan Islam’. Beliau terpaksa menceburkan diri ke dalam lapangan kesusasteraan dan menulis novel bersiri dan cerpen. Menurut Teeuw, pada tahun 1935 – 1940 Hamka menghaslkan lima buah roman. Novel-novel yang dihasilkan termasuklah Di Bawah Lindungan Kaabah(1936) dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck(1938)[28].
Majalah-majalah lain yang berperanan besar dalam usaha melahirkan pengarang novel bukan sahaja pengarang dari Sumatera Barat tetapi juga pengarang Indonesia pada keseluruhannya. Majalah-majalah tersebut misalnya ‘Sri Pustaka’91919-1941), ‘Panji Pustaka’(1919 – 1942), dan ‘Jong Sumatera’(1920- 1926). Sutan Takdir Alisjahbana menakui bahawa pada usianya 15 tahun, beliau mulai menulis untuk majalah Jong Sumatera dalam bahasa Belanda dan Indonesia yang ketika itu masih bernama bahasa Melayu[29]. Pada tahun 1932 majalah ‘Timbul’ iaitu sebuah majalah yang khusus tentang sastera yang sebelumnya diterbitkan dalam bahasa Belanda telah menerbitkan juga edisi Bahasa Indonesia yang dipimpin oleh Sanusi pane. Dalam tahun yang sama, Sutan Takdir Alisyahbana telah mengadakan ruangan ‘Menuju Kesusasteraan Baru’ dalam majalah ‘Panji Pustaka’.
Majalah pujangga baru diterbitkan pada 29 Julai 1933(1933 – 1942 dan 1949 – 1953) dengan harapan untuk mengeluarkan pendapat dan fikiran untuk memajukan bahasa dan kebudayaan. Tokoh-tokoh yang terlibat ialah Sutan Takdir Alisyahbana, Armijn Pane, Amir Hamzah dan Tetengkeng. Majalah ini diberi nama Pujangga Baru merupakan majalah pertama dalam bahasa Indonesia manakala penulis dalam majalah ini lebih dikenali dengan Angkatan Pujangga Baru. Majalah ini berusaha untuk mengumpulkan para seniman, budayawan dan cendikiawan seperti Sutan Takdir Alisyahbana, Amir Syarifudin, Amir Hamzah dan lain-lain.
Selepas Indonesia merdeka, akhbar, majalah dan penerbit yang lain tetap memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk melahirkan pengarang termasuk dalam bidang penulisan novel. Pada tahun 1957, novel “Pak Kantor” karya A. A Navis dimuatkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukit Tinggi. Pada tahun 1967 akhbar ‘Harian Makmur’ memuatkan novel “Kembali dari Alam Barzakh’ oleh A. A Navis. Pada tahun 1969, akhbar harian Haluan Padang memuatkan novel yang berjudul “Padang Kota Tercinta”. Seterusnya pada tahun 1971, novel A. A Navis juga dimuatkan dalam novel yang berjudul “Di Sepanjang Pantai Purus” dalam harian Semangat Padang. Pada tahun 1975 akhbar Kompas yang beribu pejabat di Jakarta memuatkan novel pengarang yang sama dalam surat kabar yang berjudul “Gerhana”. Pada tahun 1983 novel A. A. Navis di muatkan dalam akhbar harian ‘Sinar Harapan’(Jakarta) dengan judul “Di Lintasan Mendung”.[30] Karya-karya yang ditulis oleh Wildan Yatim juga dimuatkan dalam majalah misalnya majalah ‘Pikiran Rakyat’, ‘Horison’, ‘Budaya Jaya’. Karya-karya beliau juga dimuatkan dalam akhbar ‘Indonesia Raya’, ‘Pedoman Minggu’(Jakarta), ‘Pikiran Rakyat’(Bandung). Penerimaan daripada akhbar dan majalah dari penulis tentunya akan memotivasikan lagi para penulis untuk menghasilkan karya mereka dalam pelbagai genre termasuk novel[31].
4.0 Sepintas Lalu Tentang Perkembangan Novel Penulis Kelantan dan Sumatera
Barat
Novel berasal dari bahasa Itali ‘novella’ yang bererti ‘sebuah barang baru yang kecil’, dan kemudian diertikan sebagai ‘cerita pendek’ dalam bentuk prosa. Makna roman pula bererti cerita yang ditulis dalam bahasa Roman, iaitu bahasa rakyat Perancis di abad pertengahan. Dalam pengertian moden, roman bererti cerita prosa yang melukiskan pengalaman-pengalaman batin dari beberapa orang yang berhubungan satu dengan yang lain dalam suatu keadaan. Secara umumnya roman ialah cerita rekaan berdasarkan kepada kehidupan yang dialami oleh manusia dan kerana itu mempunyai kemungkinan-kemungkinan untuk berlaku atau terjadi. Ahli-ahli sejarah sastera Indonesia misalnya A.Teeuw dan Ajip Rosidi lebih cenderung menggunakan kata roman terutama kepada novel-novel yang diterbitkan sebelum perang. Aning Retnaningsih mendefinisikan bahawa novel yang lahir pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia dikatakan sebagai roman moden. Roman moden rancangannya sangat luas. Gambaran lahir dari pelaku-pelaku atau watak-watak dengan pengalaman dan keperibadian pengarang sendiri, disertai dengan pengalaman dan keadan hidup sehari-hari yang bersifat kebetulan dan luar biasa, sampai kepada keperibadian batin yang mempunyai watak yang khas serta dengan dengan keadaan rasa hati dan konflik kejiwaan yang timbul oleh susunan watak itu. Apa yang dipaparkan di dalam moden ialah kehidupan sehari-hari dari manusia yang mendekati kenyatan-kenyatan yang sebenarnya[32]. Mengambil latar belakang dari kejadian-kejadian sekelilingnya yang menarik perhatian pengarang dari satu masa yang tertentu. Sebaliknya cerita dari hikayat dimulai dengan penderitaan-penderitaan terlebih dahulu, kemudian diakhiri dengannambaran pelaku-pelaku yang mengembirakan, sesuai dengan fungsinya iaitu menghibur orang-orang yang sedang menderita. Isi yang terdapat alam hikayat kebanyakannya adalah romantis, berisi bermacam-macam keajaiban, peperangan dan pengembaraan yang tidak berkesudahan dan hidangan yang mewah dan menceritakan tentang kekuatan yang luar biasa pada seseorang watak dan kecantikan puteri-puteri. Pada tahun 20an isi yang terdapat dalam roman moden masih terlihat unsur-unsur hikayat. Walaubagaimanapun, di dalam kajian ini roman dianggap sama dengan novel sama ada novel yang ditulis sebelum perang atau selepas perang[33].
4.1 Perkembangan Novel Penulis Kelantan
Tahun 1937 dianggap sebagai tahun yang sangat penting kerana pada tahun inilah novel yang pertama dihasilkan oleh penulis dari Kelantan iaiatu Abdul Kadir Adabi dengan novelnya Acuman Mahkota. Seterusnya pada tahun 1938 pengarang yang sama menghasilkan novel yang berjudul Sebelas Rajab. Pada mulanya kedua-dua novel ini dimuat dalam majalah al-Hikmah (1937 – 39). Bagaimanapun, memandangkan kedua novel ini dianggap novel yang sangat penting pada zaman awal pertumbuhan novel di Kelantan dan juga di Tanah Melayu maka novel ini diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1980. Seterusnya pada tahun 1939 Abdul Kadir Adabi menghasilkan novelnya yang ketiga yang berjudul Melati Kota Baharu. Novel ini juga dimuat dalam majalah al-Hikmah di Kota Bharu. Berdasarkan pernyataan ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa hanya terdapat tiga novel yang ditulis oleh pengarang Kelantan di sekitar tahun 1930 – 1940. Bagaimanapun, novel Melati Kota Bharu dianggap novel yang terpenting pada masa tersebut dan Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka yang dipengerusikan oleh Haji Hamdan Yahya, Pengarah Jabatan Sastera, telah memilih 42 buah novel yang diterbitkan sepanjang abad ke-20 dan novel Melati Kota Bahru terpilih sebagai salah satu novel yang terbaik pada abad ke-20 iaitu pada dekad 1930-an. Ciri-ciri novel ini dianggap sebagai karya terbaik abad ke-20 ialah karya yang mencerminkan tradisi bangsa, yang mencetus dan mempengaruhi nilai hidup yang positif, karya yang mampu bertahan diuji zaman, karya yang sesuai menjadi acuan dan rujukan kepada generasi kemudian, karya yang digunakan secara meluas dan berterusan oleh masyarakat, pengkaji dan pelajar sastera, karya yang telah mencapai mutu sastera yang tinggi pada zamannya[34].
Perkembangan novel penulis Kelantan selepas Perang Dunia II terutama sekitar tahun 1945 – 1960 kurang memberangsangkan kerana di sekitar tahun tersebut tidak ada novel yang diterbitkan. Bagaimanapun pada tahun 1962 S. Othaman Kelantan muncul sebagai pengarang novel dengan terbit novelnya yang pertama yang berjudul Pelangi pada tahun 1962. Novel ini mendapat hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962[35]. Seterusnya pada tahun 1966, 1967, 1969 S. Othman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Pengertian, Pertentangan, dan Angin Timur Laut. Kesemua novel-novel ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan pustaka, Kula Lumpur.
Tahun 1970 – 1979 merupakan dekad yang penting dalam perkembangan novel-novel penulis Kelantan. Pada tahun 1977 muncul seorang pengarang wanita iaitu Fatimah Busu dengan novelnya yang berjudul Ombak Bukan Biru. Dengan munculnya novel ini, maka dapatlah dianggap Fatimah Busu merupakan pengarang novel pertama dari golongan perempuan di Kelantan. Sebelum itu pada tahun 1973 S. Othman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Juara dan Perjudian. Kedua-dua novel ini juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Dekad tahun 1980 – 1989 menyaksikan terdapat tiga orang anak Kelantan yang bergiat cergas dalam penulisan novel iaitu S. Othman Kelantan, Fatimah Busu dan Norhisham Mustaffa. Pada tahun 1980 S. Othaman Kelantan menghasilkan novel yang berjudul Perwira manakala Fatimah Busu menghasilkan novel berjudul Kepulangan. Selepas tahun 1980 bidang penulisan novel terus didominasi oleh Norhisham Mustaffa dengan novelnya yang terbit pada tahun 1982 dan 1984 iaitu Selubung Senja, dan Gerhana di Langit Pagi. Pada tahun 1985 novel beliau ialah Pengorbanan Suci dan Biarkan Ombak Badai. Pada tahun 1988 novel beliau termasuklah Biar Keruh Air Di Hulu, Kasih Orang Terbuang, Menggapai Pelangi dan Secalit Warna antara Rentak diterbitkan pada tahun 1989. Pada tahun 1989 S. Othman Kelantan menghasilkan novel dengan judul Ruang Perjalanan.
Dekad 1990 – 1999 S. Othman Kelantan dan Norhisham Mustaffa terus giat menghasilkan novel. S. Othman Kelantan menghasilkan novelnya pada tahun 1990, 1991, dan 1997. Judul-judul yang dihasilkan oleh beliau ialah Wajah Seorang Wanita, Ustaz, dan Nagogogho Astana. Norhisham Mustaffa menghasilkan tiga buah novel pada tahun 1990 iaiatu Duri-duri di Tangkai Hati, Permata di Lembah Hati dan Persingahan. Pada tahun 1991 Norhisham menghasilkan satu buah novel dengan judul Renda Sutera. Seterusnya pada tahun 1992, beliau menghasilkan empat buah novel dengan judul Merentas Gerhana, Angin Permatang, Sepanjang Ngilu Membelit dan Menguak Kabus. Pada tahun 1997 dan 1999 dua buah novel yang dihasilkan iaitu Leraian Novella dan Sayangku Aini Sofea. Pada tahun 1998 Awang Abdullah menghasilkan novel dengan judul Anak Kampung.
Abad ke 21 menyaksikan seorang anak muda dari Kelantan yang berpotensi sebagai pengarang yang berbakat besar iaiatu Mohd. Nazmi Yaakub. Beliau dilahirkan 10 Febuari 1974 di kota Baharu, Kelantan. Novel yang dihasilkannya ialah Lambaian Huda yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2001. Pada tahun 2003 Mohd. Nazmi Yaakub terus menghasilkan novel dengan judul Merentas Sungai Sejarah. Karya ini telah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Menulis Novel Alaf Barau 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. S. Othman Kelantan menghasilkan novel Orang Kota Bharu pada tahun 2003. Novel ini merupakan novel pertama dari S. Othman Kelantan di bawah riayah Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu dalam bentuk sumbangan Geran Bantuan Penulis. Pada tahun 2003 juga Fatimah Busu terus giat menghasilkan novel dengan judul The Missing Piece dan Salam Maria.
4.2 Perkembangan Novel Penulis Sumatera Barat
Perkembangan novel penulis Sumatera Barat tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Indonesia. Pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia sebenarnya sudah dimulai bukan sahaja dari penulis Sumatera Barat tetapi juga meliputi penulis dari pulau Sumatera yang lainnya terutama dari penulis Mandailing, Aceh, Sumatera Utara, Palembang, pulau Jawa, Sulawesi dan lain-lain. Walaubagaimanapun, ahli sejarah sastera Indonesia sudah sependapat bahawa sebelum Perang Dunia Kedua, penulis dari Sumatera Barat merupakan penulis yang paling dominan menghasilkan novel-novel terutama dari penerbit Balai Pustaka.
Umar Junus menganggap hasil-hasil kesusasteraan khususnya novel yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada peringkat awalnya dianggap telah memulai satu sastera moden yang berbeza dengan sastera tradisional. Perkembangan ini dianggap sebagai masa baru dalam perkembangan kesusasteraa Melayu di Indonesia[36]. Angkatan Balai Pustaka juga dikenali sebagai angkatan 20 kerana novel pertama yang diterbitkan telah dapat memberi corak kesusasteraan Indonesia moden. Novel tersebut berjudul Azab dan Sengsara oleh Merari Siregar yang ditulis sekitar tahun 1920. A. Teeuw pula menganggap tahun-tahun 20-an dikenali sebagai zaman Balai Pustaka sebagai “masa kecilnya kesusasteraan Indonesia yang moden”. Annas Haji Ahmad pula menganggap novel-novel yang dihasilkan sebelum perang sebagai zaman pembaharuan di Indonesia dan tanah Melayu. Zaman ini dikenali sebagai zaman kesedaran, zaman, zaman yang membawa jiwa dan corak baharu ke dalam sastera bentuk prosa dan puisi.
Berdasarkan kepada corak perkembangan penulisan novel di Indonesia sebelum perang, maka pada peringkat awal perkembangannya dikenali sebagai period kelahiran. Di dalam period kelahiran ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaiatu 1900 – 1933, period 1933 – 1942 dan period 1942 – 1945. Ketiga-tiga period ini mempunyai ciri-ciri yang khas di dalam penulisan novel. Berdasarkan kepada pembahagian ini maka period sebelum Perang Dunia Kedua ialah period 1900 – 1933 dan period 1933 – 1942. Berdasarkan kepada huraian di atas menunjukkan bahawa terdapat berbagai pengertian dan pandangan tentang novel-novel yang dihasilkan pada peringkat pertumbuhannya. Berdasarkan kepada kajian sarjana yang lampau, belum lagi ditemui secara khusus tentang perkembangan novel-novel dari pengarang Sumatera Barat sama ada sebelum Perang Dunia Kedua atau selepas Perang Dunia Kedua. Kajian yang ada sebelum ini di dapati pengarang Sumatera Barat digabungkan bersama-sama dengan pengarang dari daerah lain di seluruh pelusuk Indonesia. Dengan hal yang demikian, peranan secara khusus tentang penglibatan pengarang dari Sumatera Barat khususnya dalam perkembangan novel didapati agak kabur. Untuk melihat perkembangan novel dari aspek kewilayahan ini, beberapa pengarang yang terkenal pada tahun 30an terutama Sutan Takdir Alisyahbana dan Armijn Pane tidak akan dibincangkan. Sutan Takdir Alisyahbana dengan novelnya yang berjudul Layar Terkembang dan Armijn Pane dengan novel Belenggu. Hal ini disebabkan Sutan Takdir dilahirkan di Natal pada tahun 1908 dan Armijn Pane dilahirkan di Muarasipongi. Menurut Umar Junus, Sutan Takdir Alisyahbana dilahirkan dan dibesarkan di Palembang[37]. Kedua-dua daerah ini tidak termasuk dalam wilayah Sumatera Barat dan mereka bukan orang Melayu Minangkabau. Dalam kajian ini pengkaji akan cuba membuat suatu perkembangan novel yang ditulis oleh penulis Sumatera Barat bermula pada tahun 1920 sehingga tahun 2000. Novel-novel yang dihasilkan oleh penulis Sumatera Barat dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu novel yang membicarakan tentang masyarakat Melayu Minangkabau dan novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau atau membicarakan masyarakat Indonesia secara keseluruhannya. Secara pastinya pengarang-pengarang dari Sumatera Barat terus membicarakan masyarakat mereka bukan sahaja pada era sebelum perang tetapi persoalan ini terus berlanjutan sehingga tahun 2000.
Pada tahun 1920- 1929 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro dan Tulis Sutan Sati. Novel yang pertama dari pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya yang dihasilkan oleh Marah Rusli pada tahun 1922. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novelnya yang pertama berjudul Apa Dajaku karena Aku Perempuan dengan menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Novel ini diterbitkan oleh penerbit swasta. Pada tahun 1924 Nur Sutan Iskandar menghasilkan dua buah novel yang berjudul Apa Dayaku karena Aku Perempuan, dan Cinta yang membawa Maut bersama Abdul Ager. Pada tahun ini juga Swan Pen atau nama sebenarnya Prada Harahap menghasilkan novel yang berjudul Melati van Agam. Pada tahun 1926 Kedjora menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Karam dalam Gelombang. Novel Pertemoen hasil karya Abas Dt. Pamoentjak diterbitkan pada tahun 1927 dan Adinegoro menghasilkan novel yang berjudul Darah Muda. Seterusnya pada tahun 1928 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dan diberi judul Salah Pilih. Pada tahun yang sama Adinegoro menghasilkan novel yang berjudu Asmara Jaya. Pada tahun 1929 terbitnya novel hasil karya Abdoel Moeis dengan judul Salah Asuhan. Tak Disangka dan Sengasara Membawa Nikmat karya Tulis Sutan Sati juga diterbitkan pada tahun 1929. Novel yang penting dalam dekad ini dan sering diperdebatkan sehingga hari ini ialah Sitti Nurbaya, Salah Pilih, Salah Asuhan dan Sengasara Membawa Nikmat.
Pada tahun 1930 – 1939 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Habib Sutan Maharadja, Selasih dan Hamka. Pada tahun 1931 Abdoel Moeis bersama Mamed Sastrahadiprawira menghasilkan novel yang berjudul Pengeran Kornel. Habib Sutan Mahahradja menghasilkan novel pada tahun 1932 dengan judul Nasib. Pada tahun yang sama novel-novel yang diterbitkan berjudul Memutuskan Pertalian, Tidak Membalas Guna, dan Tak Disangka oleh Tulis Sutan Sati dan novel berjudul Pertemuan Jodoh oleh Abdul Muis. Pada tahun 1932 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Karena Mentua. Tulis Sutan Sati menghasilkan novel yang berjudul Memutuskan Pertalian dan Tidak Membalas Guna pada tahun 1932. Pada tahun ini juga Aman Dt. Madjoindo bersama Hardjosumarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan judul tambahan novel ini ialah Pertemuan Djawa dan Andalas. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok pada tahun 1896 menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa juga pada tahun yang sama. Pada tahun 1933 dianggap tahun yang penting dalam perkembangan novel-novel pengarang Sumatera Barat dan Indonesia pada keseluruhannya kerana Selasih muncul sebagai pengarang perempuan yang pertama dengan novelnya yang berjudul Kalau Tak Untung. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Tuba Dibalas dengan Susu dan beliau bersama M. Dahlan menghasilkan novel yang berjudul Dewi Rimba. Pada tahun 1934 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel Hulubalang Raja dan bersama S. Hardjosomarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan Sebabnya Rafi’ah Tersesat. Novel Hulu Balang Raja merupakan sebuah roman sejarah yang dikerjakan berdasarkan sebuah disertasi H. Kroeskamp De Westkust en Minangkabau (1665 – 1668) (Pantai Barat dan Minangkabau, 1665 – 1668 terbit 1931).[38] Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Si Cebol Rindukan Bulan dan Sampaikan Salamku Kepadanya. Pada tahun 1935 Nur Sutan Iskandar menghasilkan karya yang berjudul Katak Hendak Djadi Lembu.. Pada tahun 1935 Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa dan Sampaikan Salamku Padanya. Pada tahun ini juga Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Neraka Dunia. Selasih menghasilkan novel keduanya yang berjudul Pengaruh Keadaan juga pada tahun 1935. Pada tahun 1937 Nur Sutan Iskandar menghasilkan yang berjudul Naraka Dunia. Hamka dianggap pengarang yang penting di luar Balai Pustaka. Sungguhpun pengarang ini di luar dari Balai Pustaka tetapi persoalan yang diungkapkan melalui novel-novelnya masih lagi berlatarkan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1938 beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama dengan judul Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Karena Fitnah. dan Dijemput Mamaknya. Pada tahun 1939, Ardi Soma menghasilkan novel yang berjudul Tjintjin Setempel. Pada tahun yang sama novel yang penting dikarang oleh Hamka iaitu Merantau ke Deli, Tuan Direktur, dan Cinta dari Deli. Walaubagaimanapun novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah novel yang berjudul Kalau Tak Untung dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Dalam dekad ini ada sebahagian novel-novel yang diterbitkan bukan lagi membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi juga sudah menunjukkan kepelbagaian dalam masyarakat Inonesia walaupun penulisnya berasal dari Sumatera Barat. Novel-novel tersebut termasuklah Pengeran Kornel, Tuba di Balas dengan Susu, Dewi Rimba dan Rusmala Dewi.
Pada tahun 1940 – 1949 pengarang yang terkenal dalam dekad ini ialah M. Enri, Nur Sutan Iskandar, dan Hamka. Pada tahun 1940 M. Enri menghasilkan novel yang bertajuk Karena Anak Kandung. Pengarang yang lain ialah Saadah Alim dengan novelnya yang berjudul Pembalasannya. Nur Sutan Iskandar dengan novelnya yang berjudul Cinta dan Kewajipan karya bersama dengan L. Wirata dihasilkan pada tahun 1941. Keadilan Ilahi karya Hamka dihasilkan pada tahun 1941. Cinta Tanah Air yang dihasilkan pada tahun 1945 dan pada tahun 1946 beliau juga menghasilkan novel yang berjudul Moetiara, Janggir Bali dan Cobaan. Pada tahun yang sama Bagindo Saleh menghasilkan novel yang berjudul Adat Muda Menanggung Rindu. Dalam dekad ini pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin kurang menghasilkan karya mereka. Hal ini disebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara sehingga menganggu kepada proses penerbitan novel. Walaubagaimanapun, novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah Cinta Tanah Air. Novel-novel yang tidak memfokuskan masyarakat Melayu Minangkabau ialah Cinta dan Kewajipan, dan Janggir Bali.
Pada tahun 1950 – 1959 pengarang dari Sumatera Barat ialah Idrus dan Marah Rusli, Abdul Moeis dan A. A. Navis. Novel yang dihasilkan oleh Idrus berjudul Aki yang diterbitkan pada tahun 1950. Pada tahun yang sama Abdul Moeis dan Hamka menghasilkan novel yang berjudul Surapati dan Menunggu Beduk Berbunyi. Pada tahun 1951 Hamka dan Abdul Moeis menghasilkan novel yang berjudul Kenang-kenangan Hidup dan Hendak Berbakti. Pada tahun 1952 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dengan judul ujian Masa dan. Pada tahun 1953 dan 1956 Marah Rusli menghasilkan novel yang berjudul La Hami dan Anak dan Kemenakan. Abdoel Moeis pula menghasilkan novel yang berjudul Robert Anak Surapati pada tahun 1953. Pada tahun 1957 seorang pengarang baru mula dikenali iaitu A. A. Navis dengan novelnya yang berjudul Pak Kantor yang diterbitkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukittinggi. Dalam dekad ini novel Aki dan Anak dan Kemenakan dianggap novel yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam dekad ini novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau ialah Surapati dan Robert Anak Surapati.
Selepas kemerdekaan Indonesia, Balai Pustaka dikembalikan ke tangan pemerintah Republik Indonesia. Sehingga tahun 1953 Balai Pustaka dapat melaksanakan fungsinya dengan baik namun demikian selepas itu badan ini kurang menerbitkan buku sastera. Hal ini mungkin disebabkan statusnya yang tidak jelas dan peranannya sering berubah-ubah. Kesanya penerbitan hasil sastera pun mengalami kemerostan. Penerbit-penerbit yang lain seperti Pembangunan, Pustaka Rakyat dan lain-lain tidak apat menggantikan fungsi dan peranan Balai Pustaka[39]. Hal ini mungkin menjadi penyebab kurangnya penglibatan pengarang-pengarang Sumatera Barat selepas novel Anak dan Kemenakan(1953) karya Abdoel Moeis.
Pada tahun 1960 - 1969 pengarang baru mula muncul mengantikan pengarang-pengarang dari zaman 20an dan 30an. Pengarang-pengarang tersebut termasuklah Soewardi Idris, A. A Navis, dan Dt. B. Jacub. Pada tahun 1964 Soewardi Idris menghasilkan novel dengan judul Di Puncak Bukit Talang dan A. A Navis dengan novel yang berjudul Kemarau. Novel ini asalnya diterbitkan secara bersiri dalam akhbar harian res Publika dan dicetak buat pertama kalinya pada tahun 1967 oleh NV Nusantara, Bukittinggi. Pada tahun 1965 Idrus menghasilkan novel dengan judul Hati Nurani Manusia. Pada tahun 1967 Dt. B. Jacub menghasilkan novel dengan judul Panggilan Tanah Kelahiran. Pada tahun itu juga novel Kembali dari Alam Barzakh hasil karya A. A Navis diterbitkan sebagai cerita bersambung dalam akhbar harian Aman Makmur, Padang, Sumatera Barat. Pada tahun 1969 A. A Navis juga menerbitkan novel sebagai cerita bersambung dalam akhbar Haluan, Padang, Sumatera Barat. Pada dekad ini nama A. A. Navis mula dikenali sebagai pengarang dari Sumatera Barat yang telah mewarnai dunia kesusasteraan bukan sahaja di Sumatera Barat tetapi juga di seluruh Indonesia. Novel Kembali dari Alam Barzakh tidak membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi masyarakat Indonesia pada keseluruhannya.
Pada tahun 1970 – 1979 selain nama yang sudah sedia ada, nama-nama baru penulis dari Sumatera Barat termasuklah Wildan Yatim, Chairul Harun dan Ismail Marahimin. Pada tahun 1970 A. A. Navis menghasilkan novel Saraswati: Si Gadis dalam Sunyi dan seterusnya pada tahun 1971 beliau menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Harian Semangat pada tahun 1971 dengan judul Di Sepanjang Pantai Purus. Pada tahun 1975 A. A. Navis juga menghasilkan cerita bersambung dalam akhbar Kompas pada tahun 1975 dengan judul Gerhana. Idrus pada tahun 1973 masih mengekalkan nama hikayat dalam novelnya pada tahun 1973 dengan judul Hikayat Puteri Penelope dan novel ini tidak membicarakan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1974 Wildan Yatim menghasilkan novel dengan judul Pergolakan. Pada tahun 1979 terdapat dua orang pengarang dari Sumatera Barat yang mula mendapat nama dengan novelnya yang bertajuk Warisan dan Dan Perang pun Usai iaitu Chairul Harun dan Ismail Marahimin.
Pada tahun 1980 - 2000 terdapat beberapa novel dari pengarang Sumatera Barat misalnya novel yang berjudul Bako dan Dendang yang dihasilkan pada tahun 1983 dan 1988. Pada tahun 1994 A. A Navis terus menghasilkan novel secara giat dengan judul Di Lintasan Mendung, Gerhana, Dokter dan Juita
[1] Hashim Awang, 1984, Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah,
[2] Chung Young-Rhim, 1993, “Novel-novel Awal di Semenanjung Melayu(1926 – 1941): Suatu Pernyataan Identiti” dalam Ainon Abu Bakar(pny) , dalam Telah Sastera Melayu: himpunan Kertas Kerja Minggu Sastera Malaysia di London. Dewan Bahasa dan Pustaka,
[3] Hashim Awang dan Norhayati Ab. Rahman, 1996, “Unsur-unsur Moden dan Tradisional dalam Perkembangan Novel Novel Melayu Sebelum Perang Dunia II” dalam Tradisi dan Komodernan, Safirin Subhilar Sudirman9pny), 1996, dalam Universitas Sumatera Utara:
[4] Sabura Mohd Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tiada Penerbit, Kota Bharu, hlm.143.
[5] S. Othman Kelantan, Oktober 1988, “Kesusasteraan Melayu Moden: Pemikiran dan Permasalahan” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka:
[6] Rosnah Baharudin, Mei 1989,”Melati
[7] Darma Mohammad, Mei 2004, “Dunia Penulisannya Terbuka Seluas Langit” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka: kuala Lumpur, hlm. 8.
[8] S. Othman Kelantan, Oktober 1988, “Kesusasteraan Melayu Moden: Pemikiran dan Permasalahan” dalam Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka:
[9] Hashim Awang dan Norhayati Ab. Rahman, 1996, “Unsur-unsur Moden dan Tradisional dalam Perkembangan Novel Novel Melayu Sebelum Perang Dunia II” dalam Tradisi dan Komodernan, Safirin Subhilar Sudirman(pny), 1996, dalam Universitas Sumatera Utara: Medan, hlm. 253.
[10] Sabura Mohd Daud Marican, 1985, Kesusasteraan Melayu Moden: Satu Kajian Peringkat STPM, Tiada Penerbit, Kota Bharu, hlm.142.
[11] S. Othman Kelantan, 1987, Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Dewan Bahasa dan Pustaka:
[12] Zainab Kasim, mac 2004, “Anugerah Sastera Negara: Negara Mewah Sasterawan Bertuah” dalam dewan sastera, dewan Bahasa dan Pustaka:
[13] Teeuw, hlm 79.
[15] Adriyetti Amir, 1987, “Sengsara Membawa Nikmat dan Kaba Sutan Lembak Tuah: Pembicaraan Resepsi sastra dan Hubungan Intertekstual”. Tesis S2 Fakultas Pasca Sarjana, Universitas Gajah Mada. Tidak diterbitkan. Tentang Kaba secara mendalam lihat Umar Junus, 1984, Kaba dan Sistem Sosial Minangkabau: Suatu Problema Sosiologi Sastra, Balai Pustaka:
[16] Zuber Usman,1983, Kesusasteraan baru
[17]Muhammad Yamin lahir pada 23 Ogos 1903 di Talawi, dekat Sawahlunto, Sumatera Barat. Anak Usman Bagind0 Khatib kepala laras dan pakhuis-meester di Talawi, ibunya bernama Saadah dari Benghulu.Selepas tamat sekolah Melayu, beliau memasuki HIS dan kemudian melanjutkan ke sekolah guru di Bukittinggi. Pernah mengikuti Sekolah Pertanian dan Penternakan di Bogor(1923), tetapi tidak selesai. Pada tahun 1927 bersekolah di AMS
[18] Maman S. Mahayana, Ogos 1997, “Dia Penyair, Pencetus Bahasa Persatuan dan Menteri P&K, Dia Pahlawan Nasional” dalam Kakilangit, Sisipan Majalah Sastra Horison, Hlm. 12.
[19] Syamsuddin Udin, 1987, ‘Peranan Masyarakat Minangkabau dalam Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu(Riau) Menuju Bahasa Nasional
[20] Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1995, Dewan Bahasa dan Pustaka:
[21][21] Lukman Ali, 1994, Unsur Adat Minangkabau dalam Sastra
[22] S. M Zakir, Ogos 2004 “Anugerah Sastera Pemangkin Perkembangan Sastera” dalam Dewan Sastera, Hlm. 29.
[23] .
[24] Ali Akhbar Navis, 1987, “Pengaruh Minangkabau dalam Sastera
[25] Syamsuddin Udin, 1987, ‘Peranan Masyarakat Minangkabau dalam Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu(Riau) Menuju Bahasa Nasional
[26] Ibid, hlm. 31.
[27] Sejarah Daerah Sumatera Barat, 1977, Proyek Penelitian dan Pencatatan Kebudayaan Daerah, Pemerintah Daerah Sumatera Barat:
[28] A. Teeuw, Sastera Baru
[29] Sutan Takdir Alisjahbana, 1972, “Pengalaman Sekitar Menulis Karangan Sastera” dalam Proses Kreatif, Pamusuk Eneste(pny) 1983, Gramedia; Jakarta, Hlm. 109.
[30] A.A Navis 1994, “Otobiografi: Karya dan Kegiatan A.A Navis” dalam Otobiografi A. A. Navis, Abrar Yusra(pny), 1994, Gramedia: Jakarta, Hlm. 243.
[32] Aning Retnaningsih, 1983, Roman dalam Masa Pertumbuhan Kesusasteraan
[33] Burhan Nurgiyantoro, 1995, Teori Pengkajian Fiksi, Gajah Mada University Press;
[34] Lihat kata pengantar Hamzah Hamdani, Ketua Bahagian Teori dan Kritiakan Sastera, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20 dalam Jong Chian Lai, Pemberontakan, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. xiii –xvii.
[35] Zainab Kasim, Mac 2004, “Anugerah Sastera Negara: Negara Mewah Sasterawan Bertuah” dalam dewan sastera, dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, hlm. 16
[36] Umar Junus, 1974
[37] Ajip Rosidi, hlm.35 – 37. Lihat juga Umar Junus 1984, “Unsur Luar dalam Novel
[38] Ajip Rosidi, 1991, hlm. 51.
[39] Ajip Rosidi, Sejarah Sastra
No comments:
Post a Comment