3.2 Perkembangan Novel Penulis Sumatera Barat
Perkembangan novel penulis Sumatera Barat tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan novel secara keseluruhannya di Indonesia. Pada peringkat awal pertumbuhan novel di Indonesia sebenarnya sudah dimulai bukan sahaja dari penulis Sumatera Barat tetapi juga meliputi penulis dari pulau Sumatera yang lainnya terutama dari penulis Mandailing, Aceh, Sumatera Utara, Palembang, Pulau Jawa, Sulawesi dan lain-lain. Sebelum novel Azab dan Sengsara(1920) yang merupakan novel pertama Balai Pustaka, didapati telah terbit beberapa buah novel lain. Novel-novel ini berlatar-belakangkan daerah-daerah di sekitar Pulau Jawa. Karya-karya tersebut termasuklah karya Raden Mas Djokomono Tirto Aghi Soerjo yang berjudul Cerita Nyai Ratna(1909), Membeli Bini Orang(1909) dan Busono(1912). Seterusnya karya Mas Marco Kartodikromo ialah Mata Gelap dan Student Hijau. Gadis Bali Ni Rawit Penjual Orang oleh Panji Tisna oleh Panji Tisna dan Hikayat Siti Mariah ditulis oleh H. Moekti. Fatimah Busu menganggap Hikayat Siti Mariah(1910-1911) merupakan novel terawal Indonesia berasaskan kepada penampilan watak-watak yang terdiri dari bangsa penjajah dan watak peribumi. Penampilan watak ini memperlihatkan realiti kehidupan di Indonesia di bawah penjajahan Belanda. Latar yang terdapat alam novel ini juga adalah latar yang sebenarnya terutama pemamparan kilang gula dan ladang tebu. Novel ini juga disampaikan di dalam bahasa Melayu loghat Jawa yang disesuaikan dengan latar kehidupan dan suasana di Pulau Jawa[1].
Walaubagaimanapun, ahli sejarah sastera Indonesia sudah sependapat bahawa sebelum Perang Dunia Kedua, penulis dari Sumatera Barat merupakan penulis yang paling dominan menghasilkan novel-novel terutama dari penerbit Balai Pustaka. Umar Junus menganggap hasil-hasil kesusasteraan khususnya novel yang diterbitkan oleh Balai Pustaka pada peringkat awalnya dianggap telah memulai satu sastera moden yang berbeza dengan sastera tradisional. Perkembangan ini dianggap sebagai masa baru dalam perkembangan kesusasteraa Melayu di Indonesia[2]. Angkatan Balai Pustaka juga dikenali sebagai angkatan 20 kerana novel pertama yang diterbitkan telah dapat memberi corak kesusasteraan Indonesia moden. Novel tersebut berjudul Azab dan Sengsara oleh Merari Siregar yang ditulis sekitar tahun 1920. A. Teeuw pula menganggap tahun-tahun 20-an dikenali sebagai zaman Balai Pustaka sebagai “masa kecilnya kesusasteraan Indonesia yang moden”. Annas Haji Ahmad pula menganggap novel-novel yang dihasilkan sebelum perang sebagai zaman pembaharuan di Indonesia dan tanah Melayu. Zaman ini dikenali sebagai zaman kesedaran, zaman, zaman yang membawa jiwa dan corak baharu ke dalam sastera bentuk prosa dan puisi.
Berdasarkan kepada corak perkembangan penulisan novel di Indonesia sebelum perang, maka pada peringkat awal perkembangannya dikenali sebagai period kelahiran. Di dalam period kelahiran ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaiatu 1900 – 1933, period 1933 – 1942 dan period 1942 – 1945. Ketiga-tiga period ini mempunyai ciri-ciri yang khas di dalam penulisan novel. Berdasarkan kepada pembahagian ini maka period sebelum Perang Dunia Kedua ialah period 1900 – 1933 dan period 1933 – 1942. Berdasarkan kepada huraian di atas menunjukkan bahawa terdapat berbagai pengertian dan pandangan tentang novel-novel yang dihasilkan pada peringkat pertumbuhannya. Berdasarkan kepada kajian sarjana yang lampau, belum lagi ditemui secara khusus tentang perkembangan novel-novel dari pengarang Sumatera Barat sama ada sebelum Perang Dunia Kedua atau selepas Perang Dunia Kedua. Kajian yang ada sebelum ini di dapati pengarang Sumatera Barat digabungkan bersama-sama dengan pengarang dari daerah lain di seluruh pelusuk Indonesia. Dengan hal yang demikian, peranan secara khusus tentang penglibatan pengarang dari Sumatera Barat khususnya dalam perkembangan novel didapati agak kabur. Untuk melihat perkembangan novel dari aspek kewilayahan ini, beberapa pengarang yang terkenal pada tahun 30an terutama Sutan Takdir Alisyahbana dan Armijn Pane tidak akan dibincangkan. Sutan Takdir Alisyahbana dengan novelnya yang berjudul Layar Terkembang dan Armijn Pane dengan novel Belenggu. Hal ini disebabkan Sutan Takdir dilahirkan di Natal pada tahun 1908 dan Armijn Pane dilahirkan di Muarasipongi. Menurut Umar Junus, Sutan Takdir Alisyahbana dilahirkan dan dibesarkan di Palembang[3]. Kedua-dua daerah ini tidak termasuk dalam wilayah Sumatera Barat dan mereka bukan orang Melayu Minangkabau. Dalam kajian ini pengkaji akan cuba membuat suatu perkembangan novel yang ditulis oleh penulis Sumatera Barat bermula pada tahun 1920 sehingga tahun 2000. Novel-novel yang dihasilkan oleh penulis Sumatera Barat dapat dikategorikan kepada dua bahagian iaitu novel yang membicarakan tentang masyarakat Melayu Minangkabau dan novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau atau membicarakan masyarakat Indonesia secara keseluruhannya. Secara pastinya pengarang-pengarang dari Sumatera Barat terus membicarakan masyarakat mereka bukan sahaja pada era sebelum perang tetapi persoalan ini terus berlanjutan sehingga tahun 2000.
Pada tahun 1920- 1929 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Marah Rusli, Abdoel Moeis, Nur Sutan Iskandar, Adinegoro dan Tulis Sutan Sati. Novel yang pertama dari pengarang Sumatera Barat ialah Sitti Nurbaya yang dihasilkan oleh Marah Rusli pada tahun 1922. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novelnya yang pertama berjudul Apa Dajaku karena Aku Perempuan dengan menggunakan nama samaran iaitu Nursinah Iskandar. Novel ini diterbitkan oleh penerbit swasta. Pada tahun 1924 Nur Sutan Iskandar menghasilkan dua buah novel yang berjudul Apa Dayaku karena Aku Perempuan, dan Cinta yang membawa Maut bersama Abdul Ager. Pada tahun ini juga Swan Pen atau nama sebenarnya Prada Harahap menghasilkan novel yang berjudul Melati van Agam. Pada tahun 1926 Kedjora menerbitkan sebuah novel yang bertajuk Karam dalam Gelombang. Novel Pertemoen hasil karya Abas Dt. Pamoentjak diterbitkan pada tahun 1927 dan Adinegoro menghasilkan novel yang berjudul Darah Muda. Seterusnya pada tahun 1928 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dan diberi judul Salah Pilih. Pada tahun yang sama Adinegoro menghasilkan novel yang berjudu Asmara Jaya. Pada tahun 1929 terbitnya novel hasil karya Abdoel Moeis dengan judul Salah Asuhan. Tak Disangka dan Sengasara Membawa Nikmat karya Tulis Sutan Sati juga diterbitkan pada tahun 1929. Novel yang penting dalam dekad ini dan sering diperdebatkan sehingga hari ini ialah Sitti Nurbaya, Salah Pilih, Salah Asuhan dan Sengasara Membawa Nikmat.
Pada tahun 1930 – 1939 tercatat pengarang-pengarang novel dari Sumatera Barat. Nama-nama tersebut termasuklah Habib Sutan Maharadja, Selasih dan Hamka. Pada tahun 1931 Abdoel Moeis bersama Mamed Sastrahadiprawira menghasilkan novel yang berjudul Pengeran Kornel. Habib Sutan Mahahradja menghasilkan novel pada tahun 1932 dengan judul Nasib. Pada tahun yang sama novel-novel yang diterbitkan berjudul Memutuskan Pertalian, Tidak Membalas Guna, dan Tak Disangka oleh Tulis Sutan Sati dan novel berjudul Pertemuan Jodoh oleh Abdul Muis. Pada tahun 1932 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Karena Mentua. Tulis Sutan Sati menghasilkan novel yang berjudul Memutuskan Pertalian dan Tidak Membalas Guna pada tahun 1932. Pada tahun ini juga Aman Dt. Madjoindo bersama Hardjosumarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan judul tambahan novel ini ialah Pertemuan Djawa dan Andalas. Aman Dt. Madjoindo yang dilahirkan di Solok pada tahun 1896 menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa juga pada tahun yang sama. Pada tahun 1933 dianggap tahun yang penting dalam perkembangan novel-novel pengarang Sumatera Barat dan Indonesia pada keseluruhannya kerana Selasih muncul sebagai pengarang perempuan yang pertama dengan novelnya yang berjudul Kalau Tak Untung. Pada tahun yang sama Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Tuba Dibalas dengan Susu dan beliau bersama M. Dahlan menghasilkan novel yang berjudul Dewi Rimba. Pada tahun 1934 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel Hulubalang Raja dan bersama S. Hardjosomarto menghasilkan novel yang berjudul Rusmala Dewi dan Sebabnya Rafi’ah Tersesat. Novel Hulu Balang Raja merupakan sebuah roman sejarah yang dikerjakan berdasarkan sebuah disertasi H. Kroeskamp De Westkust en Minangkabau (1665 – 1668) (Pantai Barat dan Minangkabau, 1665 – 1668 terbit 1931).[4] Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Si Cebol Rindukan Bulan dan Sampaikan Salamku Kepadanya. Pada tahun 1935 Nur Sutan Iskandar menghasilkan karya yang berjudul Katak Hendak Djadi Lembu.. Pada tahun 1935 Aman Dt. Madjoindo menghasilkan novel yang berjudul Menebus Dosa dan Sampaikan Salamku Padanya. Pada tahun ini juga Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel yang berjudul Neraka Dunia. Selasih menghasilkan novel keduanya yang berjudul Pengaruh Keadaan juga pada tahun 1935. Pada tahun 1937 Nur Sutan Iskandar menghasilkan yang berjudul Naraka Dunia. Hamka dianggap pengarang yang penting di luar Balai Pustaka. Sungguhpun pengarang ini di luar dari Balai Pustaka tetapi persoalan yang diungkapkan melalui novel-novelnya masih lagi berlatarkan tentang kehidupan masyarakat Minangkabau. Pada tahun 1938 beliau telah menghasilkan novelnya yang pertama dengan judul Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Karena Fitnah. dan Dijemput Mamaknya. Pada tahun 1939, Ardi Soma menghasilkan novel yang berjudul Tjintjin Setempel. Pada tahun yang sama novel yang penting dikarang oleh Hamka iaitu Merantau ke Deli, Tuan Direktur, dan Cinta dari Deli. Walaubagaimanapun novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah novel yang berjudul Kalau Tak Untung dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Dalam dekad ini ada sebahagian novel-novel yang diterbitkan bukan lagi membicarakan masyarakat Melayu Minangkabau tetapi juga sudah menunjukkan kepelbagaian dalam masyarakat Inonesia walaupun penulisnya berasal dari Sumatera Barat. Novel-novel tersebut termasuklah Pengeran Kornel, Tuba di Balas dengan Susu, Dewi Rimba dan Rusmala Dewi.
Pada tahun 1940 – 1949 pengarang yang terkenal dalam dekad ini ialah M. Enri, Nur Sutan Iskandar, dan Hamka. Pada tahun 1940 M. Enri menghasilkan novel yang bertajuk Karena Anak Kandung. Pengarang yang lain ialah Saadah Alim dengan novelnya yang berjudul Pembalasannya. Nur Sutan Iskandar dengan novelnya yang berjudul Cinta dan Kewajipan karya bersama dengan L. Wirata dihasilkan pada tahun 1941. Keadilan Ilahi karya Hamka dihasilkan pada tahun 1941. Cinta Tanah Air yang dihasilkan pada tahun 1945 dan pada tahun 1946 beliau juga menghasilkan novel yang berjudul Moetiara, Janggir Bali dan Cobaan. Pada tahun yang sama Bagindo Saleh menghasilkan novel yang berjudul Adat Muda Menanggung Rindu. Dalam dekad ini pengarang dari Sumatera Barat didapati semakin kurang menghasilkan karya mereka. Hal ini disebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara sehingga menganggu kepada proses penerbitan novel. Walaubagaimanapun, novel yang dianggap penting dalam dekad ini ialah Cinta Tanah Air. Novel-novel yang tidak memfokuskan masyarakat Melayu Minangkabau ialah Cinta dan Kewajipan, dan Janggir Bali.
Pada tahun 1950 – 1959 pengarang dari Sumatera Barat ialah Idrus dan Marah Rusli, Abdul Moeis dan A. A. Navis. Novel yang dihasilkan oleh Idrus berjudul Aki yang diterbitkan pada tahun 1950. Pada tahun yang sama Abdul Moeis dan Hamka menghasilkan novel yang berjudul Surapati dan Menunggu Beduk Berbunyi. Pada tahun 1951 Hamka dan Abdul Moeis menghasilkan novel yang berjudul Kenang-kenangan Hidup dan Hendak Berbakti. Pada tahun 1952 Nur Sutan Iskandar menghasilkan novel dengan judul ujian Masa dan. Pada tahun 1953 dan 1956 Marah Rusli menghasilkan novel yang berjudul La Hami dan Anak dan Kemenakan. Abdoel Moeis pula menghasilkan novel yang berjudul Robert Anak Surapati pada tahun 1953. Pada tahun 1957 seorang pengarang baru mula dikenali iaitu A. A. Navis dengan novelnya yang berjudul Pak Kantor yang diterbitkan dalam akhbar ‘Harian Nyata’, Bukittinggi. Dalam dekad ini novel Aki dan Anak dan Kemenakan dianggap novel yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Dalam dekad ini novel yang tidak membicarakan masyarakat Minangkabau ialah Surapati dan Robert Anak Surapati.
Selepas kemerdekaan Indonesia, Balai Pustaka dikembalikan ke tangan pemerintah Republik Indonesia. Sehingga tahun 1953 Balai Pustaka dapat melaksanakan fungsinya dengan baik namun demikian selepas itu badan ini kurang menerbitkan buku sastera. Hal ini mungkin disebabkan statusnya yang tidak jelas dan peranannya sering berubah-ubah. Kesanya penerbitan hasil sastera pun mengalami kemerostan. Penerbit-penerbit yang lain seperti Pembangunan, Pustaka Rakyat dan lain-lain tidak apat menggantikan fungsi dan peranan Balai Pustaka[5]. Hal ini mungkin menjadi penyebab kurangnya penglibatan pengarang-pengarang Sumatera Barat selepas novel Anak dan Kemenakan(1953) karya Abdoel Moeis.
[1] Lihat Fatimah Busu, 1994, Persamaan dan Perbezaan dalam Perkembangan Novel-novel Melayu dan Indonesia, Tesis Ph.D Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hlm. 83. lihat juga Pramoedya Ananta Toer, 1985, Sang Pamula, Hasta Mitra:
[2] Umar Junus, 1974
[3] Ajip Rosidi, hlm.35 – 37. Lihat juga Umar Junus 1984, “Unsur Luar dalam Novel Indonesia” dalam Sastera Melayu Moden: Fakta dan Interpretasi, Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur, hlm. 259
[4] Ajip Rosidi, 1991, hlm. 51.
[5] Ajip Rosidi, Sejarah Sastra Indonesia, Bina Aksara, Jakarta. hlm. 105
No comments:
Post a Comment